Walkie Talkie ! :)

Ujian Berbeza Pada Setiap Manusia ..

                                        ♥ Assalamualaikum ♥ Salam Sayang Dari anNa ♥

sumber : Di Sini [ click ]



Sabda Nabi Muhammad S.a.w, Ertinya : “Sesungguhnya seorang mukmin tercipta dalam keadaan Mufattan (penuh cubaan), Tawwab (senang bertaubat), dan Nassaa’ (suka lupa), (tetapi) apabila diingatkan ia segera ingat”.  (Silsilah Hadits Shahih No. 2276).

Manusia tidak akan terlepas dari ujian dan cubaan di muka bumi ini. Ada yang diuji dengan ujian yang ringan dan ada yang diuji dengan ujian yang berat. Ada yang sabar menempuh ujian dan ada yang gagal mengawal emosinya lantas kecundang di dalam ujian tersebut. Lain manusia lain bentuk dan kategori ujiannya. Ada yang berat di mata seseorang itu tetapi ringan pula di mata orang lain, dan begitulah sebaliknya terpulang pada penerimaan dan tahap pemikiran masing-masing. Ini kerana manusia mempunyai pemikiran yang kompleks dan tidak sama 100% antara satu sama lain. Sedikit sebanyak akan berbeza juga di mana-mana.

Firman Allah yang bermaksud; “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.”  (Surah AlBaqarah : Ayat 286)

Ujian yang kita terima bergantung kepada tahap pemikiran dan keupayaan kita. Allah tidak membebankan kita dengan perkara-perkara di luar kemampuan kita jika kita sertai dengan keimanan yang jitu kepadaNya. Iman yang lemah boleh menyebabkan ujian yang ringan pun terasa berat. Keyakinan yang jitu kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan terserlah lah kesabaran yang tinggi terhadap segala ujianNya insyaAllah. Ingatlah bahawa seorang mukmin itu tidak terlepas dari ujian dan cubaan, semakin tinggi iman kita maka semakin kuat kita akan diuji. Dan manusia yang paling tinggi dan kuat ujiannya adalah para nabi dan Nabi Muhammad S.a.w adalah yang paling tinggi diuji. Oleh kerana itulah kita sebagai umat Islam dianjurkan agar sentiasa berdoa agar kita menerima ujian setakat yang termampu oleh kita.

“Ujian yang paling berat adalah bagi para nabi, kemudian berikutnya dan berikutnya, seseorang diuji (oleh Allah) sesuai dengan kadar agamanya. Maka tidaklah musibah menimpa seseorang sehingga ia berjalan di atas bumi dan tidak ada dosa padanya.”  (Hadith riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad s.a.w sejak dari kecil dijaga dari melakukan dosa, dipelihara oleh Allah dari bermain-main seperti kanak-kanak lain, mempunyai sifat amanah yang tiada tolok bandingnya, dan segala sifat yang baik ada pada nabi. Mahupun baginda tiada dosa, baginda masih tetap diuji dengan tahap ujian tertinggi. Sejak dari kecil nabi diuji dengan kematian orang-orang yang baginda sayang, dari emaknya, bapa saudaranya, datuknya hinggalah ke zaman baginda sudah dewasa dengan kematian anak-anaknya yang masih kecil belaka dan diikuti dengan kematian isteri tercintanya Khadijah dan sebagainya. Ujian-ujian yang baginda terima semasa menyebarkan risalah Islam pun dasyat, dengan tentangan, hinaan, serangan-serangan dari orang-orang yang kufur dan sebagainya.  Inilah pengajaran yang dapat kita ambil untuk semakin sabar dalam menghadapi ujian. Nabi yang tidak melakukan dosa walau sedikit pun diuji dengan ujian berat, apatah lagi kita yang selalu melakukan dosa sama ada kita sedar atau tidak, yang kalau dikumpul-kumpulkan ntah tinggi mana dah dosa kita ni. Jika kita muhasabah diri kita ini, amat patutlah kita dibalas dengan diberi ujian-ujian yang berat kerana kita pun sudah mendapat terlalu banyak nikmat dari Allah S.w.t. Dan jika kita yakin begitu, insyaAllah kita akan dapat sabar menempuh ujian dari Allah.

“Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan” , pepatah ini boleh kita guna pakai untuk mengetahui betapa Allah sayang kepada hamba-hambaNya yang beriman padaNya. Untuk meningkatkan lagi keimanan pada Dia, seorang mukmin itu akan diberi kesusahan sama ada kesusahan dari segi mental mahupun fizikal. Dengan kesusahan itu lah manusia itu akan dapat merasa bahawa diri ini terlalu lemah dan perlu bergantung hanya pada Allah zat yang Maha Berkuasa. Jika manusia itu sentiasa dibuai dengan kemewahan dan tidak merasa kesusahan, nescaya manusia itu tidak akan ada sifat kasihan belas, memahami keadaaan orang-orang yang susah, sayang-menyayang antara satu sama lain, berusaha untuk menyelesaikan masalah orang, merasa tidak perlu bergantung pada Allah dan sebagainya. Hanya orang yang pernah melalui kesusahan yang faham erti kesusahan. Hanya orang yang lemah merasai erti kelemahan.

Nabi ada menganjurkan agar umatnya bergaul dengan orang-orang miskin dan orang-orang susah. Dia sendiri pun biasa bergaul dengan orang-orang miskin dan susah walaupun dia seorang nabi yang dipandang mulia dan seorang pemerintah yang agung. Bergaul dengan orang-orang miskin dan susah akan membuatkan kita merasa betapa kita sudah mendapat banyak nikmat, memahami hati orang-orang miskin, tidak terlalu mengejar dunia, tidak hasad dengki dengan orang lain kerana sentiasa merasa diri ini cukup dan sebagainya. Hanya dengan kita melihat ke bawah barulah kita dapat merasa ketenangan yang sebenar. Kerana jika kita hanya bergaul dengan orang-orang kaya, mewah dan berpangkat, boleh menjadikan kita merasa iri hati, hasad dengki, ingin mengejar cita-cita menjadi kaya, hingga menyebabkan tiada ketenangan dalam diri. Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh berkawan langsung dengan orang-orang kaya, tetapi jangan semata-mata berkawan dengan orang kaya. Perbanyakkanlah pergaulan dengan orang-orang miskin dan susah, insyaAllah kita akan merasa serba cukup (qana’ah).

Manusia mendapat kesusahan dan kemiskinan di dunia bukanlah bermakna Allah tidak sayang pada manusia itu. Semua itu adalah ujian Allah untuk menguji keimanan manusia. Maksud hadits,“Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran dan kemiskinan.”  (Riwayat Abdullah bin Umar).

Nabi Sulaiman a.s pun yang walaupun dianugerahkan kepadanya sebuah kerajaan yang amat besar dan harta melimpah ruah, tetapi dia hanya berlagak sebagai seorang miskin. Rakyat-rakyatnya diberi makan makanan yang enak-enak tetapi dia hanya makan roti kering sentiasa, masyaAllah. Itu lah contoh yang amat bagus yang perlu diikut oleh seorang yang bergelar pemimpin. Bukan seperti manusia pada hari ini yang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin, sedangkan tanggungjawab seorang pemimpin sangatlah berat untuk dipertanggungkan di akhirat nanti. Para sahabat nabi dalu takut dan berebut-rebut untuk tidak menjadi pemimpin, tetapi manusia zaman sekarang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin.

Adalah Nabi Sulaiman bin Daud a.s apabila di pagi hari, dia memerhatikan muka orang-orang kaya dan orang-orang berpangkat. Kemudian dia datang kepada orang-orang miskin, lalu duduk bersama mereka dan mengatakan, “orang miskin bersama orang-orang miskin”. (Ihya’ Ulumiddin)

Nabi Isa a.s adalah satu contoh manusia yang paling zuhud pada dunia, begitulah pada Saidina Umar alKhattab r.a yang hanya berpakaian yang bertampung tetapi bersih walaupun dia menjadi seorang pemerintah. Tiada apa untuk dilagakkan di dunia ini kerana manusia hanyalah sebatang tubuh yang sentiasa membawa najis. Kenapa manusia sentiasa membawa najis? Kerana di dalam tubuh manusia ada mengandungi najis yang sentiasa perlu dibuang. Tengoklah di rumah-rumah kita, rumah siapa yang tidak mempunyai tandas? Sehinggakan istana raja yang begitu indah pun mempunyai tandas. Sebab itulah Allah  berfirman yang bermaksud “Dan tidaklah kehidupan di dunia itu melainkan kesenangan yang menipu”. Jika kita sudah yakin bahawa kesenangan hidup di dunia ini hanya satu tipu daya, maka insyaAllah hati kita akan bertambah cekal dan sabar untuk menghadapi apa-apa musibah yang bakal mendatang. Setiap penyakit yang kita terima itu adalah penghapus dosa, setiap ujian yang kita terima adalah penghapus dosa di samping Allah mahu mengangkat darjat kita pada pandangan penduduk langit dan Allah sudah menyediakan kehidupan yang bahagia yang kekal abadi untuk kita di akhirat nanti. Itulah syurga Allah yang hanya disediakan bagi orang-orang yang disayangi oleh Allah. Oleh itu sama-sama lah kita bersabar dalam menempuh apa sahaja ujian dari Allah. “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”.

Sudah menjadi tabiat manusia yang lemah imannya, jika sekiranya dia diberikan kesenangan, dia merasakan yang Allah telah memuliakan dia di dunia ini, manakala jika dia diberikan kesusahan dan kesakitan, dia merasakan bahawa Allah telah menghinanya dan wujud rasa tidak bersyukur di hati mereka, na’uzubillah.

Firman Allah yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil), dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.”  (Surah Al Fajr : Ayat 15-20)

Sama-samalah kita menganggap bahawa ujian dan cubaan dari Allah adalah bekal tambahan bagi kita sebagai persediaan untuk menuju ke negeri abadi nanti. Dan dengan ujian dapat mengajar kita sifat ingin sentiasa bertaubat dan kembali pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Jika kita sentiasa bertaubat maka akan terzahir lah sifat Allah Al Ghaffur (Yang Maha Pengampun). Jika kita tidak istighfar dan bertaubat maka tiada apa dan sebab untuk diampunkan dosa-dosa kita yang bertimbun banyaknya itu. Sabda nabi yang bermaksud, “Setiap anak Adam itu bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang-orang yang bertaubat”.
***


 Kesimpulannya disini ialah yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudharat jauh daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.  Sebenarnya Allah hendak mendidik hambanya agar bersabar dalam mencapai sesuatu dan janganlah bergopoh-gapah dalam sesuatu hal kerana ia sebahagian perbuatan iblis yang berusaha menyesatkan keturunan Nabi Adam. Dan ingatlah hanya kesabaran orang yang beriman sahaja akan berpanjangan. Peliharalah iman kita supaya sentiasa berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah agar kita tidak mudah digoda oleh iblis dan syaitan laknatullah. WaAllahu A’lam ..

No comments: